Tambahbaik bidang pengurusan perhutanan
Oleh SITI AISYAH NARUDIN
KOTA KINABALU: KTS Plantation Sdn Bhd dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) perkukuh kerjasama dalam menambahbaik bidang pengurusan perhutanan.
Jalinan kerjasama kedua-dua pihak dimeterai melalui Memorandum Perjanjian (MoA) melibatkan usaha penyelidikan saintifik di kawasan Hutan Simpan Segaliud Lokan Beluran.
Majlis menandatangani MoA berkenaan melibatkan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan KTS Datuk Vincent Lau Lee Ming yang mewakili Pengarah Urusan Kumpulan KTS Datuk Henry Lau Lee Kong. Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. D. Kamarudin D. Mudin diwakili oleh Timbalan Naib Canselor UMS (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Rasid Mail. Vincent dalam ucapannya berkata, jalinan kerjasama KTS Plantation dan UMS adalah lanjutan dari inisiatif melalui Surat Hasrat (LoI) yang ditandatangani kedua-kedua pihak pada November 2016.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja sebagai platform terbaik bagi KTS Plantation menunjukkan khazanah yang terdapat di Hutan Simpan Segaliud Lokan.
Malah katanya, ia juga membantu UMS dalam membuka lebih banyak peluang kerjasama menerusi pelbagai aspek khususnya bidang penyelidikan, latihan industri serta tesis untuk projek akhir pelajar.
“Saya difahamkan kerjasama penyelidikan ini berdasarkan konsep geran sepadan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM211,095.
“Ia merangkumi tiga objektif utama iaitu populasi hidupan liar, pengurusan silvikultur hutan dan potensi pelancongan alam semulajadi di KTS Plantation.
“Kami percaya usaha penyelidikan ini amat diperlukan dalam mencapai pengurusan hutan mampan di Hutan Simpan Segaliud Lokan,” katanya di sini pada Selasa. Beliau berkata, kajian di kawasan berkenaan juga mampu menjadi penunjuk tepat bagi mengukur prestasi KTS Plantation terutamanya dalam aspek flora dan fauna.
Pihaknya yakin ia adalah satu strategi inovatif untuk melihat potensi bagi impak yang berdaya saing dari kerjasama universiti-industri.
Sementara itu, Kamarudin berkata, tiga kajian bakal dijalankan bagi membantu KTS Plantation dalam menambahbaik amalan dan pengurusan perhutanan.
Menurutnya, ia termasuklah kajian tentang kewujudan ‘mineralogical’ dan hubungannya dengan populasi hidupan liar serta kajian kesan penambahbaikan silvikultur dalam ‘High Production Corridor’ (HPC) dan variasi ‘Morpho-Phenological’ bagi ‘Shorea Leprosula’.
“Kerjasama ini juga untuk menjalankan kelayakan penyelidikan terhadap potensi pelancongan alam semulajadi di Hutan Simpan Segaliud Lokan,” jelasnya.
Turut hadir menyaksikan MoA itu Timbalan Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah Dr. Robert Ong yang mewakili Pengarah Perhutanan Negeri Sabah Datuk Sam Mannan.